Monday, August 4, 2008

Israk Mi'raj

Umat Islam seluruh dunia akan menyambut ketibaan peristiwa agung iaitu Israk dan Mikraj yang ada disebut dalam ayat pertama surah al-Israk tidak lama lagi. Mereka tidak akan melepaskan peluang keemasan yang datang sekali setahun dalam bulan hijriah. Ia bagaikan dinanti-nanti oleh pencinta agama Islam, kerana kepentingannya dalam mentarbiyah jiwa manusia ke arah kesempurnaan.

Israk dan Mikraj adalah salah satu peristiwa penting yang berlaku pada diri baginda Rasulullah s.a.w. Ia juga dianggap salah satu komponen daripada 'Sirah Nabawiyyah', yang bermaksud: Sirah Nabawiyyah adalah pelaksanaan Islam secara praktikal dan contoh tepat dalam menegakkan sebuah negara Islam - Syeikh Munir Muhammad al-Ghadban / Al-Manhaj al-Haraki Li as-Sirah an-Nabawiyyah, juzuk 1, Maktabah al-Wafa', Mansoorah, Mesir � 1986.

Ulama berselisih pendapat dalam menentukan ketetapan tarikh berlakunya peristiwa penting itu. Menurut Ibn Ishaq ia berlaku selepas 10 tahun baginda dilantik menjadi Rasul. Az-Zuhri pula berpendapat ia berlaku setahun sebelum baginda berhijrah ke Madinah iaitu pada bulan Rabiul Awal, sementara as-Saddi menegaskan ia berlaku pada bulan Rabiul Awal, 16 bulan sebelum baginda berhijrah. Ada pun al-Hafiz Abdul Ghani Ibn Surur al-Maqdasi berpendapat ia berlaku pada 27 Rejab sebelum penghijrahan baginda ke Madinah.

Sementara Syeikh Prof Dr Yusuf al-Qaradawi pula berpendapat, bahawa riwayat mengenai peristiwa Israk dan Mikraj terdapat banyak pembohongan dan riwayat palsu yang boleh menggugat kedudukan iman Muslim, kerana peristiwa tersebut tidak berlaku pada bulan Rejab berdasarkan penjelasan al-Hafiz Ibnu Hajar al-'Asqalani, di mana ia tidak berlaku pada malam 27 Rejab kerana ia tidak disokong dengan hadis-hadis Sohih atau pun kata-kata Sahabat yang Sohih.

Itulah juga pendapat Imam an-Nawawi daripada mazhab Imam as-Syafie dan Imam Abu Ishaq yang berpendapat bahawa Israk Mikraj berlaku pada malam 27 Rabiul Awal. Justeru tiada nas yang menyebut keistimewaan beramal pada hari tersebut, sama ada dengan ibadat puasa atau yang lain, kerana puasa pada hari yang tidak jelas bila berlaku peristiwa itu adalah sebahagian daripada perkara bidaah, kerana tiada nas yang jelas menyuruhnya, tetapi jika kebetulan ia jatuh pada hari Isnin atau Khamis, puasa yang dilakukan itu dibolehkan kerana Nabi sering melakukannya.1

Tetapi apa yang penting diambil iktibar daripada peritiwa itu, ialah pengajaran mengenai perjalanan baginda dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa dan mikraj Rasul hingga ke langit ketujuh (Sidratul Muntaha).2

Adapun berpuasa sunat pada bulan Rejab secara umumnya adalah sesuatu digalakkan berdasarkan satu hadis do'if yang disebut oleh Imam as-Suyuti daripada Ibnu Abbas, baginda bersabda maksudnya: "Sesiapa yang berpuasa sehari dalam bulan Rejab, dia bagaikan berpuasa satu bulan, sesiapa yang berpuasa tujuh hari, maka dia tidak akan dimasukkan ke dalam neraka (kerana ia telah ditutup buatnya), sesiapa yang berpuasa sepuluh hari, maka segala kejahatannya diganti dengan segala kebaikan." 3

Adakah Israk berlaku dengan roh dan jasad Nabi?

Musuh-musuh Islam terutamanya di kalangan Orientalis barat, telah meletakkan jarum-jarum mereka dalam penulisan buku-buku sejarah dan sirah baginda Rasulullah s.a.w. Ia bertujuan agar umat Islam yang membacanya akan terkeliru dengan fakta sebenar mengenai perjalanan Israk dan Mikraj.

Mereka berpendapat, bahawa peristiwa Israk dan Mikraj hanya berlaku dalam mimpi baginda, iaitu hanya dengan roh sahaja dan tidak dengan jasad sekali, itu hanya dakwaan Muhammad semata-mata.

Namun bagi para ulama pula, mereka sepakat menyatakan bahawa Israk dan Mikraj yang berlaku ke atas baginda Rasulullah s.a.w. dengan roh dan jasad sekali, tidak hanya dengan roh seperti yang didkawa oleh musuh-musuh Islam.

Ini kerana mereka berpendapat, bahawa ungkapan perkataan 'hamba-Nya' dalam ayat pertama mengenai Israk merangkumi roh dan jasad pada diri seorang insan khususnya Nabi Muhammad s.a.w., sedangkan ia berlaku hanya dengan roh sahaja adalah berdasarkan riwayat-riwayat palsu yang sengaja untuk melemahkan keperibadian Rasulullah.

Sedangkan terdapat riwayat menunjukkan bahawa baginda menerima pensyariatan ibadat solat lima waktu secara langsung daripada Allah SWT adalah dengan roh dan jasad, itulah satu-satu ibadat khusus yang diberikan Allah secara langsung kepada baginda berbeza dengan ibadat-ibadat lain.

Program masjid ke masjid menjadi ukuran hiburan baginda

Peristiwa Israk dan Mikraj berdasarkan penjelasan para ulama berlaku sebelum penghijrahan baginda ke bumi Madinah. Ia sebagai satu pendekatan Allah untuk menghiburkan Nabi-Nya yang kehilangan dua tonggak kekuatan dakwah baginda, iaitu bapa saudaranya Abu Talib dan isteri tercinta iaitu Sayidatina Khadijah.

Sebagai manusia, baginda juga merasa sedih dan pedih dengan kematian dua orang penting yang banyak berjasa dalam mengembangkan sayap-sayap Islam di Makkah, namun Allah SWT mahu baginda terus berhubung kepada-Nya dalam keadaan yang penuh dengan kesedihan dan kemurungan.

Maka Allah Yang Maha Bijaksana telah merancang satu program berbentuk keagamaan, iaitu program masjid ke masjid, iaitu daripada Masjid al-Haram di Makkah ke Masjid al-Aqsa di Palestin, inilah contoh terbaik satu bentuk hiburan bagi menghilangkan perasaan gundah gulana yang dialami baginda selepas kematian dua tokoh terpenting.

No comments: